المشقة تجلب التيسير
" Kesukaran yang menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan "
1. DEFINISI:
- Berdasarkan kaedah ini ialah المشقة yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan ia boleh memudaratkan diri seseorang dan menghalangnya dari melakukan kerja amal seperti المشقة yang berpunca dari puasa tanpa berbuka atau berterusan berjaga malam dalam melakukan ibadat sunat tanpa rehat. Disyaratkan juga المشقة itu umum berlakunya, adapun yang jarang-jarang berlaku maka, المشقة itu tidak diambil kira seperti wudhu perempuan yang istihadhah bagi setiap kali sembahyang fardu.
- Adapun المشقة biasa yang pasti wujud dalam melaksanakan kewajipan dan kerja-kerja untuk keperluan hidup seharian yang mampu dilakukan oleh manusia tanpa mendatangkan kemudaratan maka, المشقة ini tidak menghalang dari tanggungjawabnya, bahkan syarak tidak mengangkatnya seperti المشقة bekerja dan mencari rezeki, berjihad menentang musuh, المشقة dalam melakukan amal ibadat fardu dan hukum jinayat, hudud dan qisas.
2. DALIL DALAM KAEDAH INI :
- قال تعالى: وما جعل عليكم في الدين من حرج
(سورة الحج : 78)
- قال تعالى: لا يكلف الله نفسا إلا وسعها
( سورة البقرة : 286)
3. SEBAB YANG MENJADI KERINGANAN DALAM SYARIAT ISLAM :
- Kekurangan : Sebagai contohnya, tidak dikenakan bebanan syarak ke atas orang yang gila, kanak-kanak dan orang yang sedang tidur.
- Jahil : Contohnya, harus difasakkan perkahwinan kerana aib pada salah seorang suami isteri sedangkan aib itu disembunyikan oleh seseorang daripada mereka, maka yang seorang lagi tidak mengetahui kedudukan yang sebenarnya.
- Sakit : Islam membenarkan tayamum sebagai ganti dari menggunakan air pada wudhu kerana sakit, begitu juga diharuskan doktor memandang aurat wanita kerana berubat.
- Safar : Diharuskan bagi orang yang musafir berbuka puasa, jamak dan qasar sembahyang empat rakaat.
- Terlupa : Tidak dianggap satu kesalahan dosa yang dilakukan dengan sebab terlupa seperti makan atau minum di siang hari pada bulan ramadhan.
4. RUKHSAH ( KELONGGARAN) SYARAK MENCAKUPI TUJUH JENIS HUKUMAN :
- Pengguguran, seperti digugurkan hukum sembahyang jumaat, puasa, haji dan jihad kerana keuzuran yang tertentu.
- Pengurangan, seperti yang dikurangkan sembahyang empat rakaat.
- Penggantian, seperti yang digantikan wudhu dengan tayamum ketika ketiadaan air.
- Pendahuluan ( Taqdim), seperti didahulukan solat asar dengan ditunaikan dalam waktu zohor ( jamak taqdim) dan dahulukan zakat sebelum cukup haul.
- Penangguhan ( Takhir ), seperti ditangguhkan sembahyang zohor ke waktu asar ( jamak takhir).
- Kelonggaran, seperti yang diharuskan minum arak bagi orang yang tercekik kerongkong ketika ketiadaan air yang halal, dan berlafaz dengan kalimah kafir ketika dipaksa sedangkan hati tetap beriman.
- Perubahan, seperti menukar kelakuan sembahyang yang makruf ketika ketakutan dalam peperangan.
5. BEBERAPA KAEDAH YANG TERMASUK DI BAWAH KAEDAH :
- اذا ضاق الامر اتسع
"Sesuatu perkara yang diambil tersempit ia akan menjadi luas ".
- Contohnya seseorang wanita yang kehilangan walinya ( tidak diketahui mana dia berada sama ada hidup atau mati) sedangkan tidak ada wali hakim di tempat itu, maka bolehlah dia melantik seseorang lelaki sebagai wali tahkim bagi mengkahwinkannya dengan lelaki pilihannya.
- Diharuskan perempuan yang beriddah keluar rumah apabila keadaan mendesak seperti bekerja untuk saraan hidup.
- Diterima saksi wanita (bidan) dalam kes melahirkan anak kerana menjaga nasab.
- Orang berhutang yang jatuh jadi papa kedana perlu ditangguh tuntutan bayaran hutang sehingga ia senang atau digugur sahaja tuntutan hutang itu.
- الامر اذا اتسع ضاق
" Sesuatu perkara apabila jadi luas maka ia akan menjadi sempit ".
- Maksud dari dua kaedah di atas apabila darurat telah menipa seseorang atau jamaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka untuk melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud. Inilah makna اذا ضاق الامر اتسع yang mana ertinya ialah apabila perkara itu sempit ia akan menjadi luas. Tetapi apabila hilang darurat tersebut nescaya kembali hukum kepada asal ia disyarakan. Inilah yang dimaksudkan apabila menjadi luas sesuatu perkara, maka ia akan menjadi sempit.
No comments:
Post a Comment